Untuk makluman, Perlembagaan Republik Rakyat China (PRC) menjamin kebebasan beragama di China walaupun organisasi keagamaan di sana yang tidak menerima kebenaran rasmi pemerintah boleh didakwa oleh negara. Pemerintah PRC secara rasminya adalah atheist atau tidak menganuti sebarang kepercayaan bertuhan. Urusan keagamaan dan isu yang berkaitan dalam PRC dipantau oleh Pentadbiran Hal Ehwal Agama Nasional di bawah Jabatan Kerja Barisan Hadapan Bersatu.
Berabad-abad lamanya, tamadun China dipengaruhi oleh pelbagai pergerakan keagamaan. Tiga doktrin iaitu Konfucianisme, Taoisme, dan Buddhisme membentuk kebudayaan China sepanjang liku sejarahnya, memperkaya kerangka kerja sistem kepercayaan dan kerohanian agama tradisional China yang boleh dijejaki seawal dinasti Shang dan dinasti Zhou.
- Konfucianisme
- Taoisme
- Buddhisme
Agama rakyat China, yang dibingkaikan oleh tiga doktrin serta lain-lain tradisi, mengandungi kesetiaan kepada shen, yang boleh jadi dewata atau semangat yang terkandung dalam alam semulajadi, prinsip nenek moyang dalam kelompok manusia, konsep ketamadunan, wira kebudayaan, yang kebanyakannya dibicarakan dalam sejarah dan lagenda bangsa China. Antara kultus agama rakyat yang terkenal sekali adalah yang melibatkan Maharaja Kuning sebagai rupa atau bayangan bagi Tuhan di Langit dan salah satu daripada dua kepala ilahi bagi orang China, dewi Mazu yang menjadi pelindung lautan, dewa Guandi yang mewakili peperangan dan perniagaan, dewa Caishen mewakili kemakmuran dan kemewahan, Pangu dan lain-lain.
Dasawarsa awal abad ke-21, pemerintah China melibatkan diri dalam pemulihan kultus rakyat, mengiktiraf secara rasmi "kepercayaan rakyat" sebagai berbeza daripada agama berdoktrin, dan selalu membentuknya semula sebagai bentuk-bentuk agama orang awam yang "diawasi ketat". Begitu juga dengan usaha penyebaran ajaran Buddha di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain itu, China menjadi tapak bagi kebanyakan tugu keagamaan yang tertinggi di dunia, mewakili sama ada dewata dalam agama rakyat China atau makhluk yang dicerahi dalam ajaran Buddha. Tugu yang tertinggi sekali dalam segala tugu di China adalah tugu Buddha di Kuil Musim Bunga di wilayah Henan, China.
Statistik afiliasi keagamaan di China sukar sekali untuk dikumpulkan kerana definisi agama yang rumit serta pelbagai dan tradisi agama China yang cirinya bercampur aduk. Cendekiawan memaklumi bahawa tiada sempadan yang jelas antara tiga doktrin dan amalan keagamaan rakyat tempatan. Agama-agama China atau sesetengah daripada agama yang terkini boleh didefinisikan juga sebagai bukan bertumpukan kepada ketuhanan dan bersifat kemanusiaan kerana kebanyakannya tidak berpegang dengan ketuhan yang menciptakan alam semesta namun ketuhanan itu berada dalam semua khususnya dalam manusia.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam tahun 2023, yang mengumpulkan analisis demografi sepanjang tahun 2010 hingga ke awal tahun 2020, sebanyak 70% populasi China mempercayai atau mengamalkan agama rakyat China yang antaranya, dengan pendekatan yang tidak eksklusif, 33.4% daripadanya dikenalpasti sebagai penganut agama Buddha, 19.6% sebagai penganut Taoisme, dan 17.7% menganuti jenis lain agama rakyat. Baki populasinya pula, sebanyak 25.2% tidak menganuti sebarang agama atau ateis, 2.5% menganuti agama Kristian, dan sebanyak 1.6% menganuti agama Islam. Agama rakyat China juga mengandungi pelbagai pergerakan berunsurkan doktrin penyelamatan yang tersusun, muncul sejak zaman dinasti Song.
Di samping itu, terdapat juga etnik minoriti di China yang mengekalkan agama tempatan mereka, sementara ciri agama utama daripada kumpulan etnik khusus termasuklah agama Buddha Tibet diamalkan oleh etnik Tibet, Mongol dan Yugur. Manakala, agama Islam dianuti oleh etnik Hui, Uighur, Kazakh dan Kyrgyz, serta lain-lain etnik di utara serta barat laut negara China.