Bahasa Cina purba atau bahasa Cina lama dalam karya-karya lama, merupakan bahasa Cina tertua yang menjadi nenek moyang kepada kepelbagaian kepada bahasa Cina moden. Contoh terawal bentuk bahasa Cina ini boleh dilihat pada tulang nujum yang ditemui sekitarr tahun 1250 SM dari zaman dinasti Shang.
Pahatan gangsa mula timbul semasa dinasti Zhou. Zaman dinasti Zhou lewat pula menyaksikan kemunculan sastera seperti cendawan selepas hujan. Contoh karya klasik pada zaman dinasti Zhou adalah seperti kitab Lun Yu, Meng Zi, dan Zuo Zhuan. Karya ini kesemuanya menjadi contoh kepada Kesusasteraan Cina atau bahasa Cina klasik. Ia kekal dalam bentuk piawai bertulis hinggalah ke awal abad ke-20 masihi. Oleh itu, perbendaharaan kata dan juga tatabahasa bahasa Cina purba zaman dinasti Zhou lewat kekal terpelihara.
Bahasa Cina purba ditulis dalam beberapa bentuk tulisan ideogram Cina yang awal, termasuklah seperti yang ditemui pada tulang nujum, cap mohor dan juga pada pahatan gangsa. Sepanjang zaman bahasa Cina purba itu, terdapat juga koresponden antara karakter bahasa Cina dan juga perkataan satu nada serta monomorfem. Walaupun tulisan tersebut bukan berbentuk abjad, namun kebanyakan karakter itu diciptakan berdasarkan kepada pertimbangan fonetik.
Pada awalnya, perkataan yang sukar untuk diwakilkan secara visual ditulis menggunakan karakter "pinjaman" untuk perkataan yang sama bunyinya. Hal ini disebut sebagai prinsip rebus. Seterusnya, bagi mengurangkan kekaburan, maka karakter baru dicipta untuk karakter yang dipinjam untuk nilai fonetik ini dengan penambahan calitan yang memberikan kategori semantik meluas. Hal ini menyebabkan timbulnya 形聲字 xingsheng zi iaitu fono semantik atau gabungan karakter dalam satu perkataan.
Bagi tahap terawal yang dapat dipastikan untuk bahasa Cina purba dari dinasti Shang lewat, maklumat fonetik tersembunyi dalam karakter xingsheng ini. Ia digolongkan ke dalam siri xingsheng, mewakili sumber terus data fonologi yang berguna untuk membentuk semula bahasa ini. Korpus karakter xingsheng ini diperkembang dengan pesat semasa zaman dinasti Zhou. Sebagai tambahan, rima puisi klasik terawal yang direkodkan, menyediakan sumber maklumat berkenaan dengan nada hujung bagi loghat Lembah Tengah semasa zaman dinasti Zhou Barat serta Musim Bunga dan Musim Luruh.
Begitu juga, Chi Ci memberikan maklumat berima untuk loghat yang dituturkan di rantau Chu semasa Zaman Negara Berperang. Rima-rima ini bersama dengan pembayang daripada komponen fonetik daripada karakter xinsheng membolehkan karakter yang disahkan dari bahasa Cina purba diletakkan dalam satu daripada 30 atau 31 kumpulan rima. Bagi bahasa Cina purba lewat dalam zaman dinasti Han pula, bahasa-bahasa moden Min Selatan, lapisan tertua dalam perbendaharaan kata Sino-Vietnam dan beberapa transliterasi awal nama khas bahasa asing serta nama-nama untuk flora dan fauna bukan asal turut memberikan sedikit pandangan mendalam kepada pembinaan semula bahasa Cina purba.
Walaupun banyak butiran halus masih tidak jelas, namun kebanyakan sarjana bersetuju bahawa bahasa Cina purba berbeza daripada bahasa Cina pertengahan kerana tidak mempunyai obstruen retrofleks dan palatal, tetapi mempunyai gugusan konsonan pada awal kata, serta mempunyai konsonan sengau dan likuid tak bersuara. Kebanyakan rekonstruksi terkini juga menggambarkan bahasa Cina purba sebagai bahasa tanpa nada, tetapi mempunyai banyak gugusan konsonan di hujung suku kata, yang kemudian berkembang menjadi perbezaan nada dalam bahasa Cina pertengahan.
Kebanyakan penyelidik menjejaki kosa kata teras bahasa Cina purba kepada bahasa rumpun Sino-Tibet, dengan kebanyakan pinjaman awal berasal daripada bahasa jiran. Semasa zaman Zhou, kosa kata asalnya yang bersuku kata tunggal ditambah dengan perkataan berbilang suku kata yang dibentuk melalui penggandaan atau pengulangan, walaupun kosa kata bersuku kata tunggal masih dominan. Tidak seperti bahasa Cina pertengahan dan bahasa Cina moden, bahasa Cina purba mempunyai sejumlah besar morfologi derivatif. Beberapa imbuhan telah dikenal pasti, termasuk imbuhan untuk menjadikan kata nama sebagai kata kerja, penukaran antara kata kerja transitif dan intransitif serta pembentukan kata kerja kausatif.
Seperti bahasa Cina moden, ia kelihatan tidak berimbuhan, walaupun sistem kes dan bilangan kata ganti nama nampaknya wujud semasa zaman Shang dan awal Zhou, tetapi sudah mula hilang menjelang zaman klasik. Namun, menjelang zaman klasik, kebanyakan derivasi morfologi telah menjadi tidak produktif atau tinggal sisa dan hubungan tatabahasa ditunjukkan terutamanya melalui susunan kata dan partikel tatabahasa.