Dalam lawatan Muhuyindeni kali ketiga ke China, beliau membawa dua orang anak lelaki beliau ke sana. Salah seorang anak beliau pulang semula ke rantau asal mereka. Seorang lagi bernama Aiheinaiti Kebiruo Baihedaji mengikut bapanya ke Dawantou.
Muhuyindeni menjadi imam tetap di Masjid Dawantou sebaik sahaja ia diasaskan. Disebutkan bahawa tokoh ini boleh berbahasa Cina sedikit-sedikit namun beliau tidak memahami bahasa Dongxiang yang termasuk dalam kelompok bahasa jenis Turki. Beliau terpaksa berkomunikasi dengan penduduk berbangsa Dongxiang di situ sepenuhnya dalam bahasa Arab Quran. Pengajaran agama disampaikan melalui Manla yang bertindak membantu beliau dalam syarahan-syarahan agama. Beliau sangat berminat dengan kegiatan dakwah sehingga menyebabkan jumlah jemaah di masjid beliau bertambah. Pemelukan agama Islam oleh suku kaum Zhāng dari Kampung Yinwa yang berbangsa Han menyebabkan beberapa orang yang tidak berpuas hati dengan keadaan ini melaporkan hal ini kepada kerajaan tempatan. Beliau dituduh sebagai penyebar ajaran bidaah.
Muhuyindeni kemudian dituduh oleh pegawai kerajaan tempatan sebagai melanggar undang-undang dan merosakkan orang-orang baik lalu dihumban masuk ke dalam penjara. Muhuyindeni meninggal dunia di dalam penjara. Pengikut-pengikut dari jemaah beliau membina gongbei (makam) sebagai penanda kubur beliau namun ia dimusnahkan oleh tentera Guomindang pada tahun 1928.
Anak lelaki Muhuyindeni iaitu Aihenaiti turut meninggal dunia dalam penjara. Beliau meninggalkan lima orang anak lelaki. Kesemua lima orang anak lelaki beliau pun dihalau keluar. Anak sulung dan anak kedua beliau membuang diri di Kangle Caotan di wilayah Gansu. Anak ketiga membuang diri di Shuimochuan lalu menjadi seorang guru dharma Buddha. Beliau kemudian meninggal dunia dan disemadikan di Huanghewan. Anak yang keempat bernama Aibu Wusimanai ditahan di Xian sebelum dibenarkan pulang. Beliau ini menjadi pewaris aliran bapa beliau. Namun, beliau tidak begitu terpelajar seperti bapa beliau maka kedudukan beliau dalam komuniti tarekat beliau pun tidaklah begitu dipandang tinggi sangat.
Walaupun kisah ini hanyalah kisah lisan sahaja. Namun kisah ini mencakupi hal yang seperti berikut:
- Pengasasan masyarakat Islam di China;
- Masalah dan cabaran yang dihadapi masyarakat Islam ketika itu;
- Penempatan Muslim yang asing serta proses penyerapan mereka ke dalam masyarakat tempatan;
- Masalah bahasa yang dihadapi oleh generasi awal Muslim;
- Pengasasan masjid sebagai tempat perkumpulan masyarakat Muslim;
- Hukuman yang diterima oleh pendakwah kerana menyebarkan kepercayaan mereka;
- Kematian pemuka agama atau syeikh;
- Pembinaan gongbei (makam) sebagai kenang-kenangan kepada beliau;
- Pewarisan aliran kepada anak atau ahli keluarga terdekat yang memegang jawatan ahong (imam).