Sejarah Tibet yang bersatu bermula dengan pemerintahan raja Songtsen Gampo (604-650 M). Baginda menyatukan bahagian Lembah Sungai Yarlung dan mendirikan empayar Tibet. Baginda juga membawa banyak pembaharuan dan kuasa bangsa Tibet melebar dengan pantasnya sehingga terhasil empayar yang besar dan kuat. Secara tradisinya, isteri pertama baginda iaitu Puteri Bhrikuti dari Nepal memaikan peranan yang penting dalam penyebaran ajaran Buddha di Tibet. Pada tahun 640 M, baginda berkahwin dengan Puteri Wencheng, anak saudara kepada maharaja Taizong dari dinasti Tang, benua China.
Di bawah beberapa raja Tibet, ajaran Buddha mula dijadikan sebagai agama negara dan kuasa negara-bangsa Tibet meluas sehingga ke kawasan Asia Tengah. Mereka juga cuba menjajah sehingga ke rantau orang Cina di Chang'an, ibu kota dinasti Tang pada tahun 763 masihi. Walau bagaimanapun, pendudukan Tibet ke atas Chang'an itu hanya bertahan selama lima belas hari sahaja. Selepas itu, mereka dikalahkan oleh dinasti Tang dan sekutu mereka iaitu Khagan Turki Uighur.
Kerajaan Nanzhao di Yunnan dan rantau berjirannya terus berada di bawah kekuasaan Tibet dari 750-794 masihi apabila mereka memohon bantuan Tibet dan membantu orang Cina pula menyebabkan kekalahan teruk kepada Tibet.
Pada tahun 747 masihi, pegangan Tibet dilonggarkan oleh kempen Jeneral Gao Xianzhi yang cuba untuk membuka semula perhubungan langsung antara Asia Tengah dan Kashmir dengan China. Menjelang tahun 750 masihi, orang Tibet telah kehilangan hampir semua jajahannya di Asia Tengah kepada orang Cina. Walau bagaimanapun, kekalahan Jeneral Gao kepada orang Arab dan Turki Qarluq dalam Perang Talas (751 M) serta perang saudara yang berikutnya dikenali sebagai Pemberontakan An Lushan (755 M) menyebabkan pengaruh China menurun dan pengaruh Tibet berterusan semula.
Pada pertengahan 780an dan 790an, empayar Tibet telah pun mencapai kegemilangan tertinggi apabila ia memerintah dan mengawal rantau yang terentang dari kawasan moden dalam Afghanistan, Bangladesh, Bhutan, Burma, China, India, Nepal, Pakistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Tajikistan.
Pada tahun 821 atau 822 masihi, Tibet dan China menandatangani perjanjian damai. Satu rekod dwibahasa berkenaan perjanjian ini memasukkan butiran mengenai sempadan kedua-dua negara ini seperti yang dipahat pada prasasti batu di luar Kuil Jokhang, Lhasa. Tibet terus menjadi empayar di Asia Tengah sehinggalah pertengahan abad ke-9 masihi apabila perang saudara berkenaan perebutan kuasa pengganti raja menyebabkan empayar Tibet jatuh.
Zaman yang berikutnya dikenali sebagai Era Perpecahan apabila kuasa politik ke atas Tibet terbahagi kepada panglima serantau dan puak tanpa sebarang kekuasaan pusat yang mengawal keamanan dalaman mereka. Selain itu, penaklukan Muslim dari Bengal turut berlaku di Tibet pada tahun 1206 masihi.