Kes mengenai Medium Bahasa Cina Mandarin di Malaysia

Anton secara peribadinya tidak bersetuju bahawa bahasa Cina Mandarin sukar untuk dipelajari. Pada awalnya, mungkin seseorang itu akan menghadapi kesukaran namun jika seseorang itu telah menyesuaikan diri dan sabar, maka bahasa Cina Mandarin boleh dipelajari dengan menurut kaedahnya yang tersendiri.

Anton memberikan contoh, sejak 20 tahun lalu, Lwi Kian Keong, ahli pendidikan di Malaysia telah menyaksikan demografi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chio Chiao di kampung halaman beliau di ibu kota Malaysia telah mengalami perubahan yang pesat sekali. Pada tahun 2004, sebanyak 80% murid di sekolah Cina pedalaman di Sepang, Selangor yang terletak kira-kira 70 km dari Kuala Lumpur terdiri daripada murid-murid berbangsa Cina. Kini, sebanyak 80% murid di sekolah itu berbangsa Melayu. Kisah yang sama turut berulang di semua SRJKC di seluruh Malaysia yang mana persekitaran di situ mula berubah kepada persekitaran yang bukan Cina lagi walaupun wahana pengajarannya adalah dalam bahasa Cina Mandarin.

Statistik dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mennjukkan bahawa jumlah murid Bumiputra yang belajar di sebanyak 1,299 SRJK juga meningkat kepada 18.52% pada tahun 2024, dua kali ganda daripada jumlah 9.5% pada tahun 2010. Dalam pada itu, jumlah murid berbangsa India pula meningkat ke 2.75% daripada populasi keseluruhan murid SRJKC pada tahun 2020 berbanding 1.67% sedekad yang lalu.

Di Malaysia, sistem pendidikan rendahnya mempunyai dua jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan yang wahananya adalah dalam bahasa ibunda. Bahasa Melayu menjadi wahana pengajaran di sekolah kebangsaan, manakala sekolah bahasa ibunda mengajari murid pelbagai mata pelajaran dan berkomunikasi dengan murid dalam bahasa Cina Mandarin atau bahasa Tamil. Kedua-dua jenis sekolah walau bagaimanapun mengikut sukatan mata pelajaran yang sama yang dibezakan oleh mata pelajaran bahasa sahaja.

Setelah selesai pendidikan rendah, maka murid boleh memilih untuk menghadiri sebanyak 82 Sekolah Menengah Jenis kebangsaan Cina (SMJKC), 63 Sekolah Tinggi Cina Bebas (SKTC) atau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Mereka juga mempunyai pilihan untuk menyambung pengajian tinggi di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang berasaskan komuniti Cina, universiti swasta atau universiti awam bergantung kepada kelulusan, kelayakan dan pilihan kursus mereka.

Perubahan demografi yang besar ini menyebabkan sekolah yang menggunakan wahana bahasa Cina di Malaysia mencari pelbagai cara untuk memenuhi keperluan murid-murid baru mereka, ibu bapa serta memastikan juga identiti bangsa di sekolah, nilainya dan kebudayaannya tetap utuh.

Selaras dengan keterangkuman, sekolah berwahanakan bahasa Cina menerapkan pilihan halal di kantin bagi kemudahan murid serta kakitangan Muslim. Mereka juga dibenarkan bertudung mengikut hukum agama dan peraturan kementerian, dan surau disediakan bagi kemudahan murid atau kakitangan Muslim yang ingin menunaikan solat.

Setelah berbicara dengan murid berbangsa India dan berbangsa Melayu yang pernah belajar di sekolah berbahasa ibunda Cina Mandarin di Malaysia, Anton berpandangan bahawa mereka boleh melawat negara China Tanah Besar dengan mudahnya jika mereka berminat untuk melancong atau berurusan di sana.


Akhir sekali Anton berpandangan bahawa jika murid bukan Cina semuda usia ini boleh mempelajari bahasa Cina Mandarin, apakah yang sukar sangat dengan mereka yang sudah dewasa? Jadi, inilah salah satu kes yang dibentangkan oleh Anton mengenai kes di Malaysia walaupun dia hanya membicarakan mengenai institusi dan bukannya mengenai kaedah untuk membantu pelajar bahasa Cina Mandarin fasih berbahasa dan menulis dalam bahasa tersebut.