Ringkasan Pengasas Aliran Naqshabandi Jahriyyah

Mǎ Míngxīn yang berasal dari wilayah Gansu tinggal selama 16 tahun di Mekah dan Yaman. Beliau belajar agama di sana.

Beliau ini belajar di bawah pemantauan seorang guru tarekat dari aliran Naqshabandi bernama Abdul Khaliq. Abdul Khaliq adalah anak lelaki kepada al-Zayn bin Muhammad Abdul Baqi al-Mizjaji (1643/1644-1725). Guru tarekat beliau ini berasal dari Mizjaja, dekat kota Zabid, Yaman. Al-Zayn pula adalah anak murid kepada seorang ahli tasawuf berbangsa Kurdish bernama Ibrahim bin Hasan al-Kurani (1616-1690) di Madinah. Guru agung tarekat itu menggalakkan zikir yang dijalankan secara lantang. Nampak di sini juga, Mǎ Míngxīn turut dipengaruhi oleh mazhab fekah Syafie kerana mazhab ini terkenal di Zabid dan dalam kalangan bangsa Kurdish Muslim.

Selepas pulang ke China pada 1761, Mǎ Míngxīn mengasaskan ranting aliran 哲合忍耶 Zhéhérěnyé di bawah aliran tasawuf Naqshabandi. Selain daripada membaca zikir secara lantang, tokoh ini turut menolak amalan meminta berkat orang alim seperti ranting aliran Khufiyyah, menentang pembinaan masjid yang terlalu sarat dengan hiasan dan derma orang awam kepada orang-orang alim yang menjadi ketua aliran tasawuf.

Menjelang awal 1780-an, aliran ini sudah merebak ke kebanyakan daerah di wilayah Gansu termasuklah di Ningxia dan Qinghai. Aliran ranting ini sering terlibat dalam pertelingkahan dengan aliran Khufiyyah. Isu yang dipertelingkahkan adalah isu agama, sedekah ahli tarekat dan isu pengurusan kerajaan yang salah ke atas cukai-cukai wilayah. Pertelingkahan boleh menjadi pergaduhan berdarah atau pun tindakan perundangan.

Pertelingkahan yang terbesar sekali antara Jahriyyah dan Khufiyyah menyebabkan kerajaan dinasti Qing mula memberikan perhatian kepada wilayah Gansu pada 1781.