Xinjiang menjadi kediaman bagi banyak kelompok etnik di China seperti Uighur, Kazakh, dan Kyrgyz dalam kalangan bangsa Turki. Selain itu, ia turut didiami oleh bangsa Tibet, Han, Tajik, Mongol, Rusia dan Sibe.
Lebih daripada 12 buah daerah dan mukim berautonomi diperuntukkan untuk etnik minoriti berada dalam Xinjiang. Rujukan dalam kesusasteraan Inggeris yang lama selalunya merujuk rantau ini sebagai Turkistan China, Turkistan Timur dan Turkestan. Xinjiang terbahagi kepada Lembangan Dzungar dan Lembangan Tarim di selatan dilitupi oleh banjaran gunung. Hanya kira-kira 9.7 peratus daripada kawasan tanah di Xinjiang sesuai untuk dihuni oleh manusia.
Banyak sekali bangsa dan empayar yang mengawal kawasan ini atau sebahagian daripada kawasan ini sejak 2,500 tahun yang lalu. Rantau ini pernah dikuasai oleh dinasti Qing pada abad ke-18 masihi. Kemudian, dinasti Qing digantikan oleh Republik China (ROC). Sejak tahun 1949 dan Perang Saudara China, Xinjiang dijadikan sebagai sebahagian daripada Republik Rakyat China (PRC).
Pada tahun 1954, Xinjiang Bingtuan (XPCC) dibangunkan untuk memperkukuh pertahanan sempadan China daripada serangan Soviet Union dan mempromosi ekonomi tempatan dengan penempatan askar di situ. Pada dasawarsa kini, Xinjiang berubah daripada sebuah wilayah menjadi satu rantau autonomi. Selain itu, simpanan mineral dan minyak ditemui di situ sehingga ia menjadi pembekal gas asli terbesar sekali di China.
Dari tahun 1990an hingga tahun 2010, pergerakan kemerdekaan Turkistan Timur, konflik pemisah dan pengaruh pergerakan pelampau Islam menyebabkan rantau Xinjiang menjadi kacau bilau. Ia menghadapi serangan pengganas dari masa ke masa dan berlaku pertempuran antara puak pemisah dengan pihak berkuasa China. Konflik ini menyebabkan pemerintah China menyediakan kem tahanan di Xinjiang serta cuba memaksa populasi Muslim di situ meninggalkan agama mereka menerusi reformasi pemikiran. Langkah ini disifatkan sebagai pembunuhan besar-besaran etnik Uighur oleh pemerhati asing.