Ahli linguistik mengelaskan pelbagai bahasa Cina ke dalam keluarga bahasa Sino-Tibet bersama dengan bahasa Burma, bahasa Tibet dan banyak lagi bahasa yang dituturkan di rantau Himalaya serta Tanah Tinggi Asia Tenggara.
Walaupun hubungan ini pertama kalinya dicadangkan pada awal abad ke-19 masihi dan kini diterima dengan meluas, namun pembentukan semula bahasa Sino-Tibet masih lagi jauh daripada kemajuan berbanding dengan bahasa dari rumpun Indo-Eropah atau Austroasia. Kesukaran ini berlaku disebabkan oleh kepelbagaian bahasanya yang besar, kekurangan imbuhan dalam kebanyakan bahasa ini, dan kesan akibat perhubungan antara bahasa.
Sebagai tambahan, banyak daripada bahasa yang kecil dituturkan di kawasan pergunungan sukar untuk didekati kerana selalunya ia berada di zon sempadan yang sensitif. Tanpa pembentukan semula bahasa Sino-Tibet purba yang tetap ini, maka struktur keluarga bahasa yang lebih tinggi bagi rumpun ini tetap berada dalam kekaburan. Pengelasan teratas sekali rumpun bahasa ini dibahagikan secara tanggapan kepada bahasa Cina dan bahasa Tibeto-Burma, namun ia masih lagi tidak begitu meyakinkan.