Pengenalan kepada Bahasa Cina

Bahasa Cina disebut juga sebagai 漢語 Hànyǔ yang bermaksud bahasa etnik Han atau 中文 Zhōngwén bagi merujuk kepada bentuk tulisan bahasa itu adalah sekelompok bahasa yang dituturkan secara asli oleh majoriti orang Han serta banyak etnik minoriti lain di benua China. Secara purata, sebanyak 1.35 bilion orang iaitu 17% daripada populasi dunia bertutur dalam salah satu daripada loghat bahasa Cina ini sebagai bahasa pertama mereka.

Bahasa Cina membentuk cawangan Sinitic dalam keluarga bahasa Sino-Tibet. Kepelbagaian bahasa basahan Cina ini selalunya dianggap oleh penutur asli bahasa Cina sebagai loghat daripada bahasa yang sama. Namun, kurang pemahaman sesama mereka membawa maksud loghat tersebut kadang kala dianggap sebagai bahasa yang berbeza dalam satu keluarga. Siasatan hubungan sejarah antara kepelbagaian bahasa Cina ini masih lagi berlangsung. Sehingga kini, kebanyakan pengelasan meletakkan tujuh hingga 13 kelompok rantau utama yang didasarkan kepada perkembangan fonetik daripada Bahasa Cina Pertengahan yang paling banyak sekali dituturkan adalah Bahasa Mandarin dengan jumlah kira-kira 800 juta penutur iaitu 66% daripada jumlah penutur bahasa Cina diikuti dengan Bahasa Min (75 juta orang, contoh Bahasa Hokkien), Bahasa Wu (74 juta orang, contohnya Bahasa Shanghai) dan Bahasa Yue (68 juta orang, contohnya Bahasa Kantonis). Cawangan bahasa yang disebutkan itu sebenarnya tidak dapat difahami antara satu sama yang lain dan banyak daripada cawangan kecil bahasa-bahasa ini lagi tidak dapat difahami oleh penutur dalam kelompok bahasa yang sama.

Walau bagaimanapun, terdapat juga kawasan sempadan yang mana kepelbagaian loghat dalam cawangan kecil bahasa di situ berkongsi pula antara satu sama lain, walaupun tahap pemahaman antara satu sama lain adalah terhad contohnya seperti Bahasa Xiang Baru dengan Bahasa Mandarin Barat Daya, Bahasa Cina Wu Xuanzhou dengan Bahasa Mandarin Yangtze Bawah, Bahasa Jin dengan Bahasa Mandarin Lembangan Tengah dan loghat cabang tertentu daripada Bahasa Hakka dengan Bahasa Gan. Kesemua bahasa Cina ini mempunyai nada yang pada tahap tertentunya bersifat analitik pula.

Rekod tulisan bahasa Cina terawal sekali yang disahkan adalah dalam catitan tulang nujum atau oracle bone inscriptions yang dicipta semasa zaman dinasti Shang iaitu sekitar tahun 1250 SM. Kategori sebutan fonetik Bahasa Cina Lama boleh direkabentuk semula dari rima puisi zaman purba. Semasa zaman Utara dan Selatan, Bahasa Cina Pertengahan melalui beberapa tahap perubahan bunyi dan berpecah menjadi pelbagai jenis bahasa disebabkan oleh pecahan geografi dan pemisahan politik. Qieyun, menjadi kamus rima yang merekodkan kompromi antara sebutan di pelbagai rantau. Istana dinasti Ming dan dinasti Qing awal beroperasi dengan menggunakan bahasa umum yang disebut sebagai 官話 guān huà yang didasarkan kepada loghat Bahasa Mandarin di Nanjing.

Bahasa Cina Baku seterusnya menjadi bahasa rasmi di kedua-dua Republik Rakyat China (PRC) dan Republik China (ROC) yang beroperasi di Taiwan. Selain itu, ia menjadi salah satu bahasa rasmi di Republik Singapura dan salah satu daripada enam bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN). Bahasa Cina Baku ini didasarkan kepada loghat Bahasa Mandarin yang dituturkan di Beijing dan pertama kalinya diterima pakai secara rasmi pada tahun 1930an.

Bahasa bertulis Cina umumnya menggunakan logografi atau tulisan simbol bahasa Cina yang boleh dibaca oleh penutur bahasa Cina yang bertutur dalam loghat atau bahasa Cina yang bukan Bahasa Mandarin. Sejak tahun 1950an, penggunaan karakter ringkas dipromosikan oleh pemerintah di PRC sementara Singapura pula menerima pakainya pada tahun 1976. Karakter tradisional masih lagi digunakan di ROC di Taiwan, Hong Kong, Macao, dan dalam kalangan komuniti penutur bahasa Cina di seberang laut.