Sejarah Wangsa di Benua China

A. Permulaan Pemerintahan Wangsa

Yu Agung dianggap sebagai pengasas kepada pemerintahan secara berwangsa di benua China dan wangsa ortodoks pertama sekali di situ adalah wangsa Xia. Dalam sistem wangsa China ini, pemerintah berdaulat secara teorinya mempunyai kuasa mutlak dan pemilikan peribadi terhadap alam pemerintahannya walaupun secara amalinya kuasa mereka yang sebenar bergantung kepada pelbagai faktor.

Pada tradisinya, takhta benua China diwarisi secara eksklusif oleh ahli sebelah lelaki namun terdapat juga beberapa kes di mana keluarga maharani memegang kuasa secara de facto mewakili keluarga diraja. Konsep ini disebut sebagai 家天下 jiā tiānxià yang bermaksud segala di bumi itu milik keluarga diraja. Hal ini berlawanan dengan konsep pra-wangsa Xia iaitu 公天下 gōng tiānxià yang bermaksud segala yang di bumi itu milik awam manakala pemerintahan pula tidak diwarisi oleh sesuatu keluarga sahaja.

B. Putaran Wangsa

Turun dan naik sesuatu wangsa itu menjadi salah satu ciri utama dalam sejarah benua China. Sesetengah sarjana cuba untuk menjelaskan fenomena ini dengan mengaitkan kejayaan dan kegagalan sesuatu wangsa itu dengan akhlak pemerintah. Manakala sarjana yang lain pula menumpukan kepada aspek pemerintahan keluarga diraja yang boleh diperhatikan dan nyata. Kaedah penjelasan ini disebut sebagai putaran wangsa.

Putaran wangsa atau 改朝換代 gǎi cháo huàn dài dalam sejarah benua China ini berlaku pada asasnya dengan dua cara iaitu penaklukan secara ketenteraan dan rampasan kuasa. Kejatuhan wangsa Liao oleh wangsa Jin dicapai berikutan beberapa siri kempen ketenteraan yang berkesan. Begitu juga dengan penyatuan benua China yang sebenar di bawah wangsa Yuan. Di samping itu, putaran dari wangsa Han Timur kepada Cao Wei dan juga wangsa Qi Selatan kepada wangsa Liang berlaku disebabkan oleh rampasan kuasa. Selalu juga, perampas kuasa akan menggambarkan bahawa pendahulu mereka itu menyerahkan kuasa kepada mereka secara sukarela dalam satu proses yang disebut sebagai 禪讓 shànràng atau turun takhta secara sukarela sebagai satu cara untuk mengesahkan pemerintahan mereka.

Seseorang itu mungkin berkesimpulan awal secara salah dari pemerhatian kepada garis masa sejarah bahawa putaran antara wangsa itu berlaku secara mendadak dan kasar sahaja. Namun begitu, wangsa yang baru selalunya diasaskan sebelum kejatuhan sebenar-benarnya regim pemerintahan yang sedia ada. Contohnya, tahun 1644 masihi sering dipetik sebagai tahun di mana wangsa Qing menggantikan wangsa Ming dalam memegang mandat kayangan. Walau bagaimanapun, wangsa Qing sebenarnya telah diisytiharkan sebagai satu rejim pemerintahan pada tahun 1636 masihi lagi oleh maharaja Taizong menerusi penjenamaan semula wangsa Jin terkemudian yang diasaskan oleh ayahanda baginda iaitu maharaja Taizu pada tahun 1616 masihi. Sementara itu, kerabat diraja Ming memerintah di Selatan Ming sehingga tahun 1662 masihi. Kerajaan Tungning yang diasaskan oleh pengikut setia wangsa Ming di Taiwan terus menentang wangsa Qing sehingga tahun 1683 masihi.

Dalam pada itu, pecahan lain juga turut berperang untuk menguasai seluruh benua China semasa peralihan wangsa Ming-Qing berlaku. Yang terkenal sekali di antaranya adalah wangsa Shun dan wangsa Xi yang masing-masing diisytiharkan oleh Li Zicheng dan Zhang Xianzhong. Perubahan wangsa ini merupakan satu proses yang rumit dan panjang sekali. Wangsa Qing mengambil masa hampir dua dasawarsa untuk melebarkan pengaruh pemerintahan mereka ke seluruh benua China.

Hal yang sama juga berlaku semasa peralihan wangsa Sui-Tang apabila pelbagai rejim diasaskan oleh kuasa pemberontak yang bersaing untuk mengawal dan mendapatkan kesahihan sebagai kuasa pemerintah selepas wangsa pemerintah ketika itu iaitu wangsa Sui menjadi lemah. Rejim-rejim autonomi yang wujud semasa pada ketika itu termasuklah seperti berikut:

  • 魏 Wei oleh Li Mi
  • 秦 Qin oleh Xue Ju
  • 齊 Qi oleh Gao Tancheng
  • 許 Xu oleh Yuwen Huaji
  • 梁 Liang oleh Shen Faxing
  • 夏 Xia oleh Dou Jiande
  • 鄭 Zheng oleh Wang Shichong
  • 楚 Chu oleh Zhu Can
  • 楚 Chu oleh Lin Shihong
  • 燕 Yan oleh Gao Kaidao
  • 宋 Song oleh Fu Gongshi
Wangsa Tang yang kemudian mengatasi wangsa Sui itu telah melancarkan kempen ketenteraan yang lama bertahun-tahun sebelum berjaya menyatukan semula seluruh benua China di bawah satu pusat kekuasaan.
 
Seringkali juga, bekas-bekasa wangsa sebelumnya dan keturunan mereka itu dihapuskan atau diberikan gelaran bangsawan mengikut sistem 二王三恪 Èr Wáng Sān Kè yang bermaksud dua kemahkotaan, tiga kehormatan. Tiga kehormatan itu adalah cara untuk wangsa yang memerintah menuntut kesahihan pemerintahan dari wangsa yang lampau. Sebagai contoh, Maharaja Xiaojing dari wangsa Wei Timur diberikan gelaran "Putera Zhongshan" oleh maharaja Wenxuan dari wangsa Qi Utara berikutan perlucutan jawatan maharaja dari wangsa yang sebelumnya. Begitu juga dengan Chai Yong, anak saudara kepada maharaja Shizong dari wangsa Zhou lewat diberikan gelaran "Temenggung Chongyi" oleh Maharaja Renzong dari wangsa Song. Keturunan dari kerabat diraja wangsa Zhou lewat kemudian mewarisi gelaran ini sehingga ke seterusnya.
 
Menurut tradisi pensejarahan China, setiap wangsa baru itu akan mengarang sejarah wangsa yang sebelumnya. Hal ini selanjutnya dikumpulkan dalam Sejarah Dua Puluh Empat. Tradisi ini dikekalkan walaupun selepas peristiwa Kebangkitan Xinhai yang menggulingkan wangsa Qing bagi memberi laluan kepada penubuhan Republik China. Walau bagaimanapun, percubaan golongan Republik untuk menderaf sejarah wangsa Qing itu terganggu disebabkan oleh Perang Saudara China yang memberikan kesan besar pula kepada perkembangan sejarah China iaitu terbelahnya China secara politik menjadi Republik Rakyat China di Tanah Besar China dan Republik China yang berpusat di Taiwan sehingga kini.
 
C. Penghujung Pemerintahan Berwangsa
 
Pemerintahan berwangsa di China runtuh pada tahun 1912 masihi apabila Republik China menggantikan wangsa Qing berikutan kejayaan kebangkitan Xinhai. Walaupun terdapat beberapa percubaan untuk menghidupkan semula pemerintahan berwangsa di China selepas Kebangkitan Xinhai namun ia tidak berjaya untuk mengukuhkan pemerintahan serta mendapat kesahihan politik dalam pemerintahan.
 
Semasa Kebangkitan Xinhai itu, terdapat pelbagai cadangan untuk menggantikan wangsa Qing dari suku kaum Manchu dengan wangsa baru dari suku kaum Han. 孔令貽 Kong Lingyi, Temenggung Yansheng dan merupakan keturunan ke-76 Confucius telah dikenalpasti sebagai calon yang sesuai untuk menjadi maharaja oleh Liang Qichao. Dalam pada itu, golongan kelas atasan di Anhui dan Hebei menyokong pemulihan semula wangsa Ming di bawah 朱煜勳 Zhu Yuxun, 延恩侯 Yán ēn hóu dari kerabat wangsa Ming. Namun, kedua-dua cadangan ini akhirnya ditolak.
 
Empayar China (1915-1916) diisytiharkan oleh 袁世凱 Yuan Shikai telah mencetuskan 護國戰爭 Hù guó zhànzhēng atau Perang Perlindungan Kebangsaan yang menyebabkan kejatuhan rejim pra-matang tersebut. Rejim itu hanya bertahan selama 101 hari sahaja. Pemulihan Semula Manchu atau Wangsa Qing pada tahun 1917 masihi juga menjadi satu percubaan yang gagal kerana ia bertahan hanya selama 11 hari sahaja. Begitu juga dengan Manchukuo pada tahun 1932-1945 yang menjadi kerajaan beraja pada 1934, merupakan kerajaan boneka Empayar Jepun semasa Perang Dunia II dengan pengiktirafan diplomatik yang terhad serta tidak dianggap sebagai rejim yang sah. Secara umumnya, sejarawan menganggap bahawa sistem pemerintahan berwangsa di China berakhir dengan turunnya maharaja Xuantong dari takhta pada 12 Februari 1912. Pemerintahan berwangsa ini bertahan di China selama hampir empat ribu tahun.