Zaman Empayar China

Zaman Negara Berperang berakhir pada tahun 221 SM selepas negara Qin menakluki enam lagi kerajaan, menyatukan seluruh China dan mengasaskan perintah autokrasi yang dominan. Maharaja Zheng dari negara Qin mengisytiharkan diri baginda sebagai Maharaja Pertama bagi wangsa Qin. Baginda menggubal pembaharuan perundangan Qin di seluruh China. Pembaharuan tersebut antaranya adalah penyelarasan sistem huruf bahasa Cina, ukuran sukatan, keluasan jalan dan matawang. Wangsa baginda ini juga menakluki puak-puak Yue di Guangxi, Guangdong dan Vietnam. Wangsa Qin memerintah benua China selama 15 tahun sahaja. Kemudian, ia jatuh selepas kemangkatan Maharaja Pertama. Dasar kuku besi baginda juga menyebabkan timbulnya pemberontakan di merata-rata benua China.

Berikutan perang saudara yang merabak di sana sini di benua China, beberapa peristiwa telah berlaku:

  • Perpustakaan negara di Xianyang telah terbakar;
  • Wangsa Han muncul sebagai pemerintah China antara tahun 206 SM sehingga tahun 220 M; dan
  • Kemunculan wangsa Han ini mencetuskan identiti kebudayaan baru pula dalam kalangan penduduk benua China serta bangsa majoriti dikenali sebagai bangsa Han.
Wangsa Han meluaskan lagi sempadan empayarnya dengan kempen ketenteraan sehingga mencecah Asia Tengah, Mongolia, Korea Selatan dan Yunnan. Selain itu, ia turut mendapatkan kembali Guangdong dan Vietnam Utara dari Nan Yue.
 
Penglibatan wangsa Han di Asia Tengah dan Sogdia membantu pengasasan laluan darat iaitu Jalan Sutera yang menggantikan jalan yang sebelumnya merentasi rantau Himalaya untuk ke India. Wangsa Han seterusnya menjadikan benua China sebagai kuasa ekonomi terbesar di dunia purba. Walaupun proses desentralisasi dan perlucutan falsafah legalisme wangsa Qin ditinggalkan secara rasmi bagi memberikan peluang kepada falsafah Confucius namun institusi perundangan Qin dan dasarnya diteruskan juga oleh kerajaan wangsa Han serta wangsa yang seterusnya.
 
Selepas kejatuhan wangsa Han, muncul pula zaman pergelutan yang disebutkan sebagai zaman Tiga Kerajaan di mana watak utamanya kemudian diabadikan dalam salah satu daripada empat sastera klasik dalam kesusasteraan China. Pada penghujungnya, wangsa Wei sepantas kilat digulingkan oleh wangsa Jin. Wangsa Jin jatuh ke dalam kancah peperangan saudara ketika kenaikan maharaja yang cacat. Lima bangsa gasar kemudian menakluki dan memerintah China utara sebagai enam belas negara. Bangsa Xianbei kemudian menyatukan semula mereka sebagai wangsa Wei Utara dengan maharaja Xiaowen menongkah dasar pendahulunya yang bersifat pemisah dan memaksa proses pencinaan yang segera ke atas rakyat baginda. Proses ini menjalinkan mereka ke dalam kebudayaan Cina. Di China selatan pula, panglima Liu Yu menjatuhkan wangsa Jin bagi memberi peluang kepada kenaikan wangsa Liu Song. Pelbagai pengganti kepada negara-negara ini kemudian dikenali sebagai wangsa Utara dan wangsa Selatan dengan dua bahagian ini akhirnya disatukan semula oleh negara Sui pada tahun 581 masihi. Negara Sui kemudian mengembalikan kuasa bangsa Han di seluruh benua China, memperbaharui teknik pertanian, ekonomi dan sistem peperiksaan kerajaan, membina Terusan Besar serta menyokong ajaran Buddha di China. Walau bagaimanapun, mereka juga jatuh apabila rakyat dipaksa menjalankan kerja awam dan peperangan yang gagal di Korea Utara menimbulkan kekacauan besar dalam kawasan pemerintahan mereka.
 
Di bawah pengganti mereka iaitu wangsa Tang dan wangsa Song, ekonomi, teknologi serta kebudayaan China memasuki era keemasannya. Empayar Tang mengekalkan kuasa di Rantau Barat dan Jalan Sutera yang membawa pedagang berdagang sejauh Mesopotamia serta Tanduk Afrika. Mereka menjadikan Chang An sebagai ibu kota negara. Walau bagaimanapun, ibu kota tersebut digegarkan dan dilemahkan oleh Pemberontakan An Lushan pada abad ke-8 masihi. Pada tahun 907 masihi, wangsa Tang berpecah terus apabila gabenor tentera tempatan tidak menerima perintah lagi. Wangsa Song juga berakhir dengan situasi pemisah pada tahun 960 masihi yang menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan kuasa antara wangsa Song dan wangsa Liao Khitan. Negara Song merupakan kerajaan pertama dalam sejarah dunia yang mengeluarkan matawang kertas dan merupakan politi China yang pertama mengasaskan angkatan laut tetap dengan sokongan industri perkapalan yang maju bersama dengan perdagangan laut.
 
Antara abad ke-10 dan ke-11 masihi, opulasi China berkembang dua kali ganda daripada asalnya mencapai jumlah 100 juta orang. Hal ini berlaku disebabkan oleh perluasan pertanian padi di China tengah dan China selatan. Penghasilan makanan ini menyebabkan lebihan makanan yang banyak. Wangsa Song menyaksikan juga penghayatan semula ajaran Confucius yang merupakan tindak balas kepada perkembangan ajaran Buddha semasa zaman wangsa Tang. Selain itu, ia turut menyaksikan perkembangan falsafah, kesenian dalam bentuk seni lanskap serta peralatan tembikar yang membawa China ke arah tahap kematangan serta kebudayaan rumit yang baru. Namun, ketenteraan dalam wangsa Song menjadi lemah dan hal ini diperhatikan oleh wangsa Jin Jurchen. Pada tahun 1127, maharaja Huizhong dari wangsa Song dan Bianjing, ibu kota negara Song ditawan semasa Perang Jin-Song. Sisa dari negara Song berundur ke China selatan.
 
Pada abad ke-13 masihi pula, benua China dijajahi oleh Mongol. Pada tahun 1271, Kublai Khan, pemimpin bangsa Mongol mengasaskan wangsa Yuan. Mereka menawan sisa terakhir wangsa Song pada tahun 1279. Sebelum penaklukan Mongol itu, populasi negara Song, China adalah sebanyak 120 juta orang. Ia kemudian merosot kepada 60 juta sahaja mengikut banci pada tahun 1300. Zhu Yuanzhang, seorang petani menggulingkan wangsa Yuan pada tahun 1368 dan mengasaskan wangsa Ming pula. Zhu Yuanzhang kemudian memakai nama maharaja Hongwu. Semasa pemerintahan wangsa Ming, benua China menikmati zaman keemasan yang lain pula. Mereka memajukan armada lautan mereka menjadi yang terkuat di dunia dan terkaya. Ekonomi mereka berkembang pesat dan kebudayaan serta kesenian pun mencapai ketinggian. Ketika zaman inilah, laksamana Zheng He mengetuai pelayaran wangsa Ming menjelajahi Lautan India sehingga sampai ke Timur Afrika.
 
Pada awal pemerintahannya, ibu kota wangsa Ming dipindahkan dari Nanjing ke Beijing. Di samping kapitalisme yang bercambahan, ahli falsafah seperti Wang Yangming memajukan lagi kritikan serta memperkembangkan fahaman Neo-Confucianisme dengan konsep individualisme serta kesaksamaan empat pekerjaan. Susunan pegawai kerajaan dan sarjana menjadi kuasa penyokong industri serta perdagangan semasa pergerakan memboikot cukai, ketika kebuluran dan pertahanan dari serangan Jepun yang menakluki Korea (1592-1598) serta penaklukan Manchu menyebabkan berlakunya kehausan kepada perbendaharaan negara.
 
Pada tahun 1644, Beijing ditakluki oleh pakatan pemberontak dalam kalangan petani dengan ketuanya adalah Li Zicheng. Maharaja Chongzhen membunuh diri apabila ibu kota jatuh ke tangan pemberontak. Panglima Wu Sangui dari wangsa Qing di Manchuria yang bersekutu dengan wangsa Ming menumpaskan pemerintahan wangsa Shun yang didirikan oleh Li Zicheng seterusnya mengawal kota Beijing. Kota Beijing akhirnya menjadi ibu kota baru bagi wangsa Qing.