Wangsa Qing yang bermula dari tahun 1644 sehingga tahun 1912 menjadi wangsa penjajah seluruh benua China yang terakhir. Penaklukannya ke atas wangsa Ming (1618-1683) menyebabkan seramai 25 juta orang mati dan ekonomi benua China mengecut dengan drastiknya.
Selepas berakhirnya wangsa Ming Selatan, penaklukan seterusnya ke atas Khagan Dzungar memasukkan Mongolia, Tibet dan Turkestan Timur ke dalam empayar China. Pemerintahan autokrasi berpusat mengukuhkan lagi proses menghancurkan sentimen anti-Qing dengan diikuti dasar yang menghargai pertanian dan mengekang perdagangan, haijin atau melarang kegiatan kelautan dan kawalan ideologi yang menampilkan siasatan ke atas kesusasteran menimbulkan sekatan sosial serta teknologi di benua China.
Pada pertengahan abad ke-19 masihi, wangsa Qing mengalami pertembungan dengan penjajahan Barat dalam Perang Candu antara Britain dan Perancis. China dipaksa untuk membayar pampasan, menandatangani perjanjian membuka pelabuhan, membenarkan perundangan asing dijalankan ke atas orang asing dalam rantau mereka dan memajakkan Hong Kong kepada Britain dalam Perjanjian Nanjing 1842. Perjanjian ini menjadi antara perjanjian yang berat sebelah pertama di dunia. Perang Sino-Jepun (1894-1895) menyebabkan wangsa Qing kehilangan pengaruh di Semenanjung Korea dan terpaksa memajakkan Taiwan kepada Jepun.
Wangsa Qing turut mengalami pergolakan dalaman yang menyebabkan berjuta-juta orang mati terutamanya Pemberontakan Teratai Putih, kegagalan Pemberontakan Taiping yang menyebabkan selatan China hancur pada tahun 1850 dan 1860 serta Pemberontakan Dungan (1862-1877) di barat laut China. Kejayaan awal dalam Gerakan Pengukuhan Kendiri pada 1860an gagal disebabkan oleh beberapa kekalahan pada tahun 1880an dan 1890an.
Dalam abad ke-19 masihi, penghijrahan keluar secara besar-besaran dari China berlaku. Kerugian akibat penghijrahan keluar ini ditambah lagi dengan pergolakan dan bencana seperti Kebuluran China Utara pada tahun 1876-1879 yang menyebabkan kematian antara sembilan sehingga 13 juta orang. Maharaja Guangxu merangka pelan pembaharuan pada tahun 1898 untuk mengasaskan sistem monarki berperlembagaan namun pelan ini digagalkan oleh Maharani Balu Cixi. Pemberontakan Boxer yang meletus akibat kebencian kepada orang asing pada tahun 1899-1901 melemahkan lagi wangsa Qing. Walaupun Maharani Balu Cixi menyokong program pembaharuan, namun Revolusi Xinhai pada tahun 1911-1912 menyebabkan wangsa Qing runtuh terus lalu membawa kepada penubuhan Republik China (ROC). Maharaja Puyi, maharaja terakhir bagi seluruh China seterusnya turun takhta menjadi orang awam.