Zaman Republik Rakyat China (1949 - 1976)

China muncul sebagai salah satu pemenang dalam Perang Dunia II namun peperangan telah memecahbelahkan negara China serta menyebabkan kewangannya merosot. Ketiadaan persefahaman antara Parti Kuomintang (KMT) dan Parti Komunis China (CCP) menyebabkan perang saudara meletus. Pemerintahan berperlembagaan pun ditubuhkan pada tahun 1947, namun kerana kekacauan yang berlangsung itu terlalu lama, maka banyak sekali peruntukan daripada Perlembagaan Republik China (ROC) tidak pernah dilaksanakan di China Tanah Besar. Selepas itu, CCP mengambil alih hampir semua kawasan Tanah Besar China dan pemerintah ROC terpaksa berundur keluar dari Tanah Besar China menuju ke Taiwan.

Pada 1 Oktober 1949, Mao Zedong, Pengerusi CCP mengisytiharkan secara rasminya kewujudan Republik Rakyat China di Dataran Tiananmen di Beijing. Pada tahun 1950, Republik Rakyat China (PRC) menawan Hainan dari ROC dan menakluki Tibet. Walau bagaimanapun, saki baki tentera KMT meneruskan serangan mereka di China Barat sepanjang tahun 1950an. Melalui Pergerakan Pembaharuan Tanah, CCP berjaya mendapat populariti dalam kalangan golongan petani. Pemerintah CCP membahagikan tanah kepunyaan antara 1 dan 2 juta tuan tanah kepada golongan petani atau bekas penyewa tanah. Walaupun pada awalnya PRC berhubungan baik dan rapat dengan Kesatuan Soviet, namun hubungan antara kedua-dua negara bangsa komunis ini mula menjadi buruk. Hal ini menyebabkan China memajukan sistem industrinya sendiri dan menyimpan senjata nuklear.

Populasi China berkembang dari 550 juta orang kepada 900 juta orang pada tahun 1974. Walau bagaimanapun, Lencongan Kemajuan Besar, projek industrialisasi besar-besaran yang idealistik ini menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 15 ke 55 juta orang antara tahun 1959 dan 1961, kebanyakannya disebabkan oleh kebuluran.

Pada tahun 1964, China meledakkan bom atomnya yang pertama. Pada tahun 1966, Mao bersama sekutunya melancarkan Revolusi Kebudayaan, mencetuskan pertuduhan politik dan pergolakan sosial lebih sedekad lamanya. Ia berakhir dengan kematian Mao pada tahun 1976. Pada Oktober 1971, PRC menggantikan ROC menjadi wakil China di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan menduduki kerusi sebagai ahli tetap dalam Majlis Keselamatan.