Suku kaum Han adalah suku kaum majoriti di Tanah Besar China atau Republik Rakyat China (PRC). Pada tahun 2010, sebanyak 91.51% populasi di PRC dikelaskan sebagai suku kaum Han iaitu sekitar ~1.2 bilion orang. Selain daripada suku kaum Han sebagai suku kaum terbesar, sebanyak 55 suku kaum minoriti lagi turut disenaraikan sebagai bangsa China dengan jumlahnya seramai 105 juta orang iaitu kira-kira lapan peratus daripada populasi di PRC. Mereka tinggal di sempadan barat laut, utara, timur laut, selatan dan barat daya dengan sedikit bertumpu rantau hulu di tengah PRC.
Secara rasminya, pemerintah PRC mengiktiraf suku kaum minoriti mereka dan memastikan mereka menerima atau telah menerima faedah yang tertentu melebihi suku kaum Han sendiri di bawah sistem autonomi rantau suku kaum. Hal ini termasuklah tindakan afirmatif, pengecualian daripada dasar seorang anak, kerusi yang khusus dalam pertubuhan politik serta sokongan pemerintah dalam menyokong pemeliharaan budaya mereka. Suku kaum minoriti di rantau autonomi juga menerima bantuan subsidi tambahan dari negara. Selain itu, bahasa suku kaum minoriti yang diiktiraf pemerintah digunakan juga dalam dokumen rasmi negara.
Tidak lama selepas penubuhan PRC, sebanyak 39 suku kaum diiktiraf oleh negara dalam banci negara pertama pada tahun 1954. Seterusnya, jumlah ini bertambah kepada 54 suku kaum dalam banci negara kedua pada tahun 1964 dengan penambahan suku kaum Lhoba pada tahun 1965. Perubahan yang terakhir dijalankan dengan penambahan suku kaum Jino pada tahun 1979, menjadikan jumlah suku kaum yang diiktiraf negara meningkat kepada 56 suku kaum. Berikut adalah suku kaum minoriti yang terbesar di PRC bagi rujukan peminat negara China dan kebudayaan di sana:
- Zhuang, 19.6 juta orang
- Hui, 11.4 juta orang
- Uighur, 11 juta orang
- Miao, 11 juta orang
- Manchu, 10.4 juta orang
- Yi, 9.8 juta orang
- Tujia, 9.6 juta orang
- Tibet, 7 juta orang
- Mongol, 6.3 juta orang
- Buyei, 3.5 juta orang
- Dong, 3.5 juta orang
- Yao, 3.3 juta orang
- Bai, 2 juta orang
- Korea, 1.7 juta orang
- Hani, 1.7 juta orang
- Li, 1.6 juta orang
- Kazakh, 1.5 juta orang
- Dai, 1.2 juta orang