Zaman Wangsa Awal China

Zaman wangsa awal di benua China adalah merupakan rejim pemerintahan beraja yang turun-temurun memerintah beberapa bahagian dalam benua China sepanjang laluan sejarahnya. Dari perasmian pemerintahan wangsa oleh Yu Agung sekitar 2070 SM sehingga kepada Maharaja Xuantong yang turun takhta pada 12 Februari 1912 ketika kebangkitan Revolusi Xinhai, benua China ini dikuasai oleh pelbagai wangsa silih berganti.

Wangsa pemerintah China ini tidak terhad kepada yang diasaskan oleh suku kaum Han yang merupakan suku kaum terbesar di benua China dan pendahulunya persekutuan puak Huaxia sahaja. Namun, ia turut merangkumi wangsa yang diasaskan oleh orang bukan Han.

Membahagikan sejarah China kepada zaman ia diperintah oleh wangsa-wangsa ini akan lebih memudahkan pengkajian sejarah dijalankan. Selain itu, sesuatu wangsa boleh digunakan untuk menjadi penanda aras had pemerintahan sesuatu keluarga, kejadian, trend pada ketika itu, personaliti, rekacipta kesenian dan artifak pada zaman itu. Sebagai contoh, proselin yang dihasilkan semasa zaman wangsa Ming boleh dirujuk juga sebagai Porselin Ming. Perkataan "wangsa" ini selalunya digugurkan apabila rujukan sifat dibuat kepada sesuatu artifak sejarah.

Wangsa ortodoks yang paling lama sekali memerintah di benua China adalah wangsa Zhou. Mereka memerintah selama 789 tahun. Selain itu, mereka terbahagi kepada wangsa Zhou Barat dan Zhou Timur dalam sejarah China. Kuasanya berkurangan pada penggal akhir pemerintahannya. Wangsa ortodoks China yang mempunyai rantau pemerintahan terlias sekali adalah sama ada wangsa Yuan (Mongol) atau wangsa Qing (Manchu) bergantung kepada sumber sejarah itu sendiri.

Wangsa-wangsa China ini sering juga merujuk diri sendiri sebagai 天朝 Tiāncháo atau Wangsa Samawi. Sebagai satu bentuk penghormatan dan ketundukan, negeri-negeri yang ditakluki akan membayar ufti kepada wangsa China yang dirujuk sebagai 天朝上國 Tiāncháo Shàngguó atau 天朝大國 Tiāncháo Dàguó.

Sila buat tambahan rujukan di sini, sekian terima kasih.